Pesawat Poland Mendarat Cemas Akibat Ancaman Bom

Sebuah pesawat sewa Poland terpaksa membuat pendaratan cemas di Republik Czech selepas juruterbangnya melaporkan terdapat ancaman bom di dalam pesawat, kata seorang pegawai.

Menteri Dalam Negeri Czech, Milan Chovanec memberitahu televisyen Czech pada Jumaat, polis sudah menahan seorang warga Poland yang mengancam untuk meletupkan pesawat terbabit.

Chovanec menolak untuk mendedahkan ketika ditanya sama ada pegawai menjumpai bahan letupan bersama suspek ketika ditahan.

Beliau hanya menjelaskan skuad bom melakukan pemeriksaan ke atas pesawat itu.

Menerusi laman Twitter Chovanec menulis: “Semua penumpang selamat, tidak ada yang cedera. Setakat ini tiada tanda-tanda ia satu serangan pengganas”.

Jurucakap Perkhidmatan Pengangkutan Udara Republik Czech, Richard Klima berkata, pesawat Boeing 737, dikendalikan syarikat Enter Air, membawa 160 penumpang kebanyakannya warga Poland dalam penerbangan dari Las Palmas, ibu kota Pulau Gran Canaria, Sepanyol ke Warsaw. – AP