Banduan Larikan Diri Dari Penjara Filipina

Lebih 150 banduan melarikan diri dari sebuah penjara di selatan Filipina selepas sekumpulan lelaki bersenjata memecah masuk bangunan itu dan menembak mati seorang pengawal keselamatan, awal pagi semalam.

Warden penjara, Peter Bongat memberitahu, penyerang melepaskan tembakan ke arah pengawal Penjara Daerah Cotabato Utara, di pulau Mindanao pada jam 1 pagi (waktu tempatan).

“Ia adalah serangan terancang. Tahanan mengambil peluang daripada pertempuran senjata untuk melarikan diri. Mereka menggunakan selimut dan menyusun katil serta bantal untuk memanjat tembok penjara,” katanya.

Bongat percaya serangan didalangi kumpulan pemberontak Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Susulan daripada insiden itu, sekurang-kurangnya 158 daripada 1,511 banduan berjaya lolos.

Sementara itu, jurucakap Biro Pengurusan Penjara dan Penologi, Inspektor Kanan Xavier Solda berkata, enam banduan terbunuh dalam pertempuran berkenaan dan lapan tahanan telah berjaya diberkas semula. – Agensi