Kereta Api Tergelincir di New York, Ratusan Penumpang Cedera

Sebuah kereta api bandar New York tergelincir di terminal pusat bandar Brooklyn semasa waktu puncak menyebabkan lebih 100 penumpang cedera dalam kemalangan kedua kereta api di kawasan metropolitan sejak akhir bulan September.

Krew kecemasan bergegas ke Terminal Atlantic selepas kereta api Long Island Rail Road tergelincir dari landasan di hab pengangkutan sibuk pada 8.20 pagi (waktu tempatan), kata Jabatan Bomba New York.

Walaupun tiada kecederaan mengancam nyawa, sekurang-kurangnya 11 orang dibawa ke hospital, kata Timbalan Ketua Dan Donoghue ketika taklimat di lokasi kejadian.

“Antara 600 hingga 700 orang berada di atas kereta api,” katanya dipetik Reuters.

Gabenor New York Andrew Cuomo berkata pada taklimat itu, kereta api, yang tiba dari kawasan kejiranan Queens di Far Rockaway, gagal berhenti pada masanya.

“Dengan kelajuan yang agak perlahan, ia tergelincir selepas terkena satu blok penghadang,” katanya.

Menurut mesej Twitter jabatan bomba, kira-kira 103 orang cedera.

Bahagian depan kereta api enam gerabak rosak teruk.

Sekatan stesen dan blok penghadang yang menghalang kereta api berkenaan dari terus menghentam penghujung landasan juga rosak teruk.

Jurutera mungkin bertanggungkawab kerana gagal mengehentikan kereta api sebelum ia melanggar penghadang, kata Tom Prendergast, pengerusi pihak berkuasa pengangkutan Metropolitan, agensi menguruskan kereta api.

Pada akhir September, kereta api New Jersey Transit merempuh sebuah terminal di Hoboken, New Jersey, menyebabkan seorang wanita maut dan 114 orang cedera.