Rakyat Mexico Merompak Sebab Harga Barang Naik

Ratusan penduduk di Mexico City yang berang dengan kenaikan harga bahan api bertindak ‘merompak’ kedai dan mengepung jalan raya.

Datuk Bandar Mexico City, Miguel Angel Mancera berkata, sebanyak 23 kedai dirompak dan 27 sekatan diletakkan di bandar beberapa hari selepas kerajaan menaikkan harga petrol serta diesel 14 hingga 20 peratus.

Persatuan Peruncit Mexico (Antad), menggesa pihak berkuasa persekutuan dan negeri untuk campur tangan dengan segera kerana barangan di 79 kedai telah dicuri dan 170 yang lain terpaksa ditutup akibat sekatan jalan.

Sementara itu, pihak berkuasa Mexico mengesahkan telah menahan lebih 250 orang yang merompak kedai di seluruh negara.

“Lebih 200 orang ditahan polis untuk pelbagai tindakan vandalisme dan kecurian di kedai dalam enam majlis perbandaran termasuk ibu negara dengan sekurang-kurangnya 20 penahanan,” menurut kerajaan dalam satu kenyataan.

Beliau memberitahu, beberapa individu ditahan ketika cuba mencuri di kedai dan perbuatan vandalisme atas alasan membantah liberalisasi harga petrol.

Presiden Enrique Pena Nieto bagaimanapun, menegaskan keputusan menaikkan harga bahan api terpaksa diambil disebabkan kenaikan harga minyak global dan jika tidak dilakukan, negara akan lebih terbeban. – Agensi