Skandal Rasuah, Polis Denmark Tahan Wanita Korea Selatan

Pendakwa raya Korea Selatan, berkata hari ini anak perempuan orang kepercayaan Presiden Park Geun-hye, ditangkap di Denmark dan pihak berkuasa sedang berusaha menghantarnya pulang ke tanah air berikutan skandal rasuah terbesar di negara itu.

Park dipecat bulan lalu oleh penggubal undang-undang selepas pendakwa raya mencetus kemarahan orang awam atas dakwaan presiden berkomplot bagi membolehkan rakan lama beliau, Choi Soon-sil, memeras syarikat dan mengawal kerajaan.

Polis Denmark menahan anak perempuan Choi, Chung Yoo-ra, hujung minggu lalu atas tuduhan tinggal di situ secara haram.

Korea Selatan meminta Interpol mencari Chung kerana tidak kembali ke tanah air untuk menjawab soalan mengenai skandal terbabit.

Agensi berita Yonhap Korea Selatan melaporkan Chung, bekas ahli pasukan ekuestrian negara, didakwa mengambil kesempatan daripada hubungan ibunya dengan Park untuk mendapatkan keistimewaan yang tidak munasabah dari Ewha Womans University di Seoul. – AP