Trump Kekal Lokasi Taklimat Berita, Pilih Media Buat Liputan

Presiden dipilih Donald Trump membatalkan hasrat memindahkan lokasi taklimat berita di luar Rumah Putih, namun mahu pasukannya memilih organisasi media tertentu membuat liputan.

Trump yang akan mengangkat sumpah jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-45 esok, berbalah dengan beberapa organisasi media arus perdana negara itu.

Jutawan hartanah Republikan itu ‘mengharamkan’ beberapa organisasi berita ketika kempen presiden dan secara terbuka mengkritik pemberita secara individu.

Trump menggunakan Twitter sebagai alat komunikasi utama dan tidak pernah mengadakan sidang media sebagai Presiden AS dipilih sehingga dua bulan selepas pilihan raya 8 November lalu.

Pembantu Trump mengusulkan memindahkan taklimat media dan sidang akhbar di luar bilik taklimat kecil Sayap Barat ke Bangunan Pejabat Eksekutif Lama, juga sebahagian daripada kompleks Rumah Putih.

Mereka turut mempertimbang mengubah tempat duduk yang sejak sekian lama ditentukan Pertubuhan Koresponden Rumah Putih (WHCA).

Bilik taklimat semasa itu kini mempunyai 49 kerusi.

Presiden WHCA, Jeff Mason yang juga wartawan REUTERS berkata, kumpulan itu sudah mengambil alih tanggungjawab pengurusan tempat duduk atas permintaan kedua-dua presiden Demokrat dan Republikan.

Jurucakap Trump, Sean Spicer, semalam memberitahu media, taklimat pertama presiden akan diadakan di bilik itu dan akan melihat bagaimana ia berlangsung.

Trump yang memiliki lebih 20 juta pengikut Twitter, memberitahu FOX News bahawa beliau akan terus menggunakan Twitter sebagai alat komunikasi.

“Saya tidak suka memuat naik tweet. Saya ada banyak perkara lain perlu dilakukan. Namun saya sering diganggu media tidak jujur, akhbar tidak jujur. Ia satu-satunya cara saya memberi maklum balas,” katanya. – Reuters