Ucapan Perpisahan, Obama Gesa Rakyat AS Pertahan Demokrasi

Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menggesa rakyat negara itu supaya mempertahankan demokrasi menerusi ucapan perpisahan di hadapan ribuan penyokongnya di Chicago, kelmarin.

“AS kini jadi lebih kuat berbanding lapan tahun lalu ketika saya pegang jawatan di Rumah Putih. Tetapi sikap ambil ringan segelintir pihak mengancam demokrasi.

“Saya gesa seluruh rakyat supaya pertimbang pelbagai perkara dari sudut masing-masing. Kita perlu beri perhatian dan mendengar,” tegas presiden kulit hitam pertama di AS berusia 55 tahun itu.

Menurutnya, peralihan kuasa secara aman antara presiden adalah ciri demokrasi AS.

Beliau turut menggariskan tiga bentuk ancaman kepada demokrasi di Washington – ketidaksamaan ekonomi, perbezaan kaum dan perpecahan masyarakat yang mana pendapat tidak berdasarkan beberapa fakta asas biasa.

“Saya mahu anda percaya bukan saya boleh membawa perubahan tetapi diri anda,” katanya.

Difahamkan, penggantinya, Donald Trump yang akan mengangkat sumpah pada 20 Januari depan juga berikrar membatalkan beberapa dasar Obama. – AFP