AS Desak Russia Kawal Rejim Bashar

Amerika Syarikat (AS) mendesak Russia mengekang rejim Syria sambil memberi amaran serangan kimia boleh merosakkan hubungan mereka dan menyatakan keamanan tidak mungkin dicapai selagi Presiden Bashar al-Assad terus berkuasa.

Penasihat kanan Presiden Donald Trump memilih beberapa program temu bual Ahad menerusi televisyen bagi konfrontasi secara diplomatik di Moscow menjelang ketibaan Setiausaha Negara, Rex Tillerson, esok untuk perundingan dengan Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov.

Ia adalah pertemuan pertama mereka sejak serangan peluru berpandu AS ke atas pangkalan udara Syria, Jumaat lalu, sebagai tindak balas terhadap serangan bom disyaki gas sarin pada 4 April di bandar dikuasai pemberontak, Khan Sheikhun yang mengorbankan sekurang-kurangnya 87 orang awam.

Di Tehran, pemimpin Iran, Ayatollah Ali Khamenei, berkata AS melakukan kesilapan strategik dan berjanji tidak akan meninggalkan medan pertempuran walaupun berdepan ancaman.

“Kami akan bertindak tegas terhadap pencerobohan di Syria, malah terhadap mana-mana pihak yang bertindak melampaui batasan,” katanya dalam satu kenyataan dalam laman web Al-Watan, akhbar yang menyokong rejim Bashar. – AFP