Enam Maut, Penunjuk Perasaan Serbu Pusat Undi

Enam penduduk awam terbunuh di wilayah Kashmir bawah pentadbiran India, semalam selepas polis melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang menyerbu beberapa pusat membuang undi, ketika pilihan raya kecil kerusi parlimen, kata seorang pegawai kanan.

Polis negeri dan separa tentera melepaskan peluru hidup dan peluru getah terhadap penunjuk perasaan yang melaungkan slogan menentang pemerintahan India di daerah Budgam berhampiran wilayah Srinagar.

“Tunjuk perasaan ganas berlaku di banyak lokasi di Budgam. Penunjuk perasaan merosakkan dan merampas mesin undi elektronik (EVM) di beberapa lokasi. Enam penduduk awam maut dan 70 lagi cedera ,” kata ketua pegawai pilihan raya negari, Shantmanu kepada pemberita.

Menurutnya, ramai penunjuk perasaan cedera parah ditembak polis dan anggota separa tentera, kata sumber hospital di Srinagar.

Pegawai pilihan raya itu berkata, lebih 100 kakitangan kerajaan termasuk anggota polis dan anggota separa tentera turut cedera dalam rusuhan itu. – AFP