Menarik
Tarikh Hari Ini
18 October 2017

50 Maut, 200 Cedera Dalam Kejadian Tembakan Di Las Vegas

Sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh dan lebih 200 lagi cedera dalam kejadian tembakan di sebuah konsert di luar Hotel Mandalay Bay, Las Vegas di Nevada, kata polis tempatan pada Isnin, lapor agensi berita China Xinhua.

Angka kematian itu, yang masih awal untuk ditentukan jumlah sebenarnya, menjadikan insiden tersebut sebagai yang paling buruk dalam sejarah Amerika Syarikat.

Terdahulu, jurucakap polis Joe Lombardo pada sidang akhbar berkata, suspek utama menggunakan senapang automatik dan melepaskan tembakan dari tingkat 32 hotel berkenaan, bagaimanapun, suspek berjaya dibunuh polis kemudian.

Menerusi rakaman video dimuat naik dalam talian, kedengaran bunyi tembakan dipercayai daripada senjata automatik.

Dilaporkan jenis senjata api yang menghasilkan bunyi bising seperti dirakamkan dalam video berkenaan sukar untuk didapati di kedai menjual senjata di Amerika Syarikat.

Media tempatan melaporkan kejadian berlaku pada pukul 11.30 malam Ahad sementara saluran berita ABC 7 berkata ratusan das tembakan dilepaskan.

Terdahulu, laporan awal oleh CBS Los Angeles dan FOX 11 mengatakan, 2 terbunuh dalam kejadian itu manakala 24 cedera dengan 12 dilaporkan parah.

Laporan itu juga mengatakan, terdapat suspek lain yang masih bebas, namun polis Las Vegas, menerusi Twitter dimuat naik pada 12.30 pagi Isnin, percaya kejadian dilakukan oleh seorang penyerang. – BERNAMA