Bahrain Dakwa Letupan Laluan Paip Minyak Ada Kaitan Iran

Bahrain berkata letupan yang menyebabkan kebakaran laluan paip minyak utama kelmarin disebabkan sabotaj ‘pengganas’, mengaitkan serangan itu kepada Iran, yang menafikan sebarang peranan dalam ketidakstabilan di negara pulau itu.

Sekutu utama Barat dan tuan rumah kepada Angkatan Ke-5 Amerika Syarikat, Bahrain yang diperintah oleh komuniti Sunni sejak bertahun bergelut dengan tunjuk perasaan dan keganasan daripada rakyat majoriti Syiah.

“Kejadian itu merupakan tindakan sabotaj dan tindakan terrorisme berbahaya dengan matlamat untuk memudaratkan kepentingan negara dan keselamatan rakyat,” kata kementerian di laman sesawangnya.

“Tindakan pengganas yang disaksikan negara mutakhir ini dilakukan melalui perhubungan langsung dan arahan daripada Iran,” kata kenyataan yang memetik Menteri Dalam Negeri Sheikh Rashid Abdullah al-Khalifa.

Pihak berkuasa Bahrain berkata mereka berjaya mengawal kebakaran di laluan paip minyak itu.

Syarikat Petroleum Bahrain (Bapco) menutup aliran minyak ke laluan paip itu, kata pertahanan awam dalam kenyataan semalam.

Penduduk kampung Buri yang berdekatan tempat kejadian, kira-kira 15km dari ibu negara Manama, dipindahkan ke tempat perlindungan, tambah kenyataan itu.

Kementerian tenaga Arab Saudi berkata pengepaman ke Bahrain dihentikan dan kerajaan itu meningkatkan keselamatan di fasiliti miliknya.

“Serangan ke atas laluan paip itu…diikuti dengan pemberhentian pengepaman minyak ke Bahrain,” kata kementerian tenaga, industri dan sumber galian Arab Saudi.

“Kementerian tenaga juga mengesahkan langkah keselamatan ditingkatkan di semua fasiliti, dan semua fasiliti kini mempunyai tahap keselamatan yang tinggi,” tambah kenyataan itu.

Selepas pihak berkuasa bertindak keras ke atas tunjuk perasaan “Arab Spring” yang diterajui komuniti Syiah pada 2011, militan melancarkan serangan bom dan senjata api terhadap pihak berkuasa, yang Manama salahkan pada Tehran.

Iran menafikan sebarang peranan dalam kekacauan di Bahrain.

Bahrain bergantung kepada lapangan minyak Abu Safa untuk majoriti minyaknya. Ia berkongsi lapangan itu dengan Arab Saudi. Minyak ke Bahrain disalurkan melalui laluan paip A-B sepanjang 55km dengan kapasiti 230,000 tong sehari.

Laluan paip minyak baharu dengan kapasiti 350,000 tong sehari antara kedua-dua negara itu akan siap tahun depan untuk rancangan naiktaraf kapasiti kilang penapisan Bahrain.

Minyak mentah Arabian Light akan mengalir dari kilang Abqaid milik Saudi Aramco melalui laluan paip baharu sepanjang 115km itu, di mana 73km akan dibina atas darat dan selebihnya dasar laut. – Reuters