Hospital Tajaan Malaysia Untuk Rohingya Dijangka Siap Sepenuhnya Esok

Hospital medan tajaan Malaysia yang mula dibina semalam berhampiran kem pelarian etnik Rohingya di sini, kini siap 30 peratus dan dijangka siap sepenuhnya esok.

Hospital medan yang setaraf hospital daerah berpakar bernilai RM3.5 juta dengan keluasan 100 m x 70 m itu terletak di wilayah Ukhiya, kira-kira 10 minit perjalanan dari kem utama, iaitu Kem Pelarian Kutupalong dan Bhalukali.

Ketua Penasihat Teknikal Hospital Medan Malaysia, Kol Dr Mohd Arshil Moideen berkata, sejurus siap, hospital medan paling lengkap dari segi kemudahan di sekitar kawasan itu, akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Hospital medan ini telah dipasang sejak 5.00 pagi Sabtu dengan kekuatan 10 anggota dan semua peralatan perubatan berada dalam keadaan baik,” katanya selepas memberi penerangan kepada rombongan ahli Parlimen Malaysia yang melihat perkembangan persiapan hospital berkenaan, semalam.

Dalam lawatan itu, delegasi ahli Parlimen terbabit meluangkan 30 minit bagi melihat sendiri kerja memasang struktur khemah yang dilakukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dr Arshil yang juga doktor pakar epidemiologi klinikal Kor Kesihatan Diraja ATM menjangkakan hospital tersebut bakal menerima jumlah pesakit ramai, justeru tempoh 3 bulan operasi tidak mencukupi.

“Kita berharap tempoh ini akan dilanjutkan bagi mereka (pelarian) mendapat perkhidmatan terbaik,” katanya.

Menurut Dr Arshil, selain perkhidmatan klinikal, KKM juga akan menyediakan sokongan psikologi kepada pelarian Rohingya, terutamanya mereka yang melalui detik hitam seperti dirogol dan ahli keluarganya dibunuh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengumumkan hospital medan yang dijangka beroperasi 1 Disember ini boleh menempatkan sehingga 150 pesakit pada satu-satu masa, selain dilengkapi bilik pembedahan, x-ray serta bilik khas bagi kemudahan ibu dan anak.

Hospital medan yang didirikan ATM itu akan dikelola sepenuhnya KKM dengan 140 petugas pasukan perubatan Malaysia, termasuk doktor pakar. – BERNAMA