Militan Rancang Serang Perkahwinan Anak Jokowi Ditahan Polis Indonesia

Polis Indonesia menangkap seorang suspek militan yang merancang menyerang kedutaan Myanmar dan majlis perkahwinan puteri Presiden Joko Widodo (Jokowi), kata pegawai semalam.

Jurucakap polis Jakarta, Raden Argo Yuwono berkata, suspek, Rizky Anggara Putra, 25, ditangkap di sebuah rumah sewa di Bekasi, pinggir Jakarta pada tengah hari Isnin lalu.

“Rizky yang tinggal di rumah berkenaan bersama ibunya disyaki penyokong kumpulan militan Daish.

“Dia merancang melancarkan serangan terhadap kedutaan Myanmar di Jakarta dan majlis perkahwinan anak perempuan Jokowi,” katanya yang dipetik Kyodo News.

Bagaimanapun, Raden tidak mendedahkan rancangan serangan itu secara terperinci atau senjata yang mahu digunakan suspek.

Majlis perkahwinan puteri Jokowi, Kahiyang Ayu dan pasangannya, Bobby Nasution berlangsung semalam di kediaman keluarga itu di Solo, Jawa Tengah.

Seramai 8,000 tetamu termasuk duta asing hadir ke majlis perkahwinan itu yang diadakan mengikut tradisi Jawa. – Agensi