Robert Mugabe Sah Letak Jawatan Sebagai Presiden Zimbabwe

Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe meletak jawatan, sekaligus mengakhiri era pemerintahannya sejak negara itu merdeka, lapor agensi berita China Xinhua.

“Saya, Robert Gabriel Mugabe, berdasarkan Seksyen 96 subseksyen 1 Perlembagaan Zimbabwe, dengan ini secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Presiden Zimbabwe serta-merta,” kata Mugabe dalam surat peletakan jawatannya.

“Keputusan untuk meletak jawatan adalah secara sukarela kerana prihatin dengan kebajikan rakyat Zimbabwe dan keinginan untuk memastikan peralihan kuasa yang lancar, aman dan tidak ganas”, katanya.

Peletakan jawatan Mugabe, 93, diumumkan pada Selasa oleh speaker Parlimen, Jacob Mudenda semasa sidang Parlimen yang membahaskan prosiding pemecatan beliau.

Mudenda, kemudian mengumumkan penggantungan perbahasan dan akan segera menjalankan proses undang-undang melantik presiden negara baharu selewat-lewatnya pada Rabu. – BERNAMA