Xiaomi Lebarkan Sayap Ke Rusia, Buka Mi Store Beroperasi 24 Jam

Gergasi gajet pintar terbesar China, Xiaomi mula melebarkan sayap ke pasaran Eropah dan selepas berjaya di Sepanyol, ia mencetuskan fenomena apabila membuka cawangan di Rusia.

Menurut media antarabangsa, cawangan Mi Store terbaharu yang dibuka kelmarin itu juga mencipta rekod unik tersendiri apabila beroperasi 24 jam setiap hari sekali gus kedai peranti elektronik pertama seumpamanya di dunia

Terletak di Tverskaya Street di pusat bandar raya Moscow, ia membolehkan jutaan pelanggannya selain warga asing dapat membeli-belah produk Xiomi sepanjang masa tanpa henti selepas waktu pejabat termasuk hari cuti umum.

Bahkan, lokasinya strategik digemari pelancong beragama Islam dari rantau Asia Barat dan Asia Tenggara kerana cuma terletak lima kilometer dari mercu tanda ikonik, Masjid Cathedral, yang merupakan masjid terbesar di Rusia.

Berkapasiti 10,000 jemaah, masjid kedua terbesar Eropah selepas Masjid Agung Rom, Itali itu dirasmikan Presiden Rusia, Vladimir Putin; Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas pada 2015.

Justeru, pelancaran gedung terkini Mi Store di sini yang dibuka 24 jam menjadi antara tarikan baharu menjelang Rusia bersiap sedia menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak berprestij Piala Dunia FIFA 2018 pada tahun depan.

Sebelum ini, produk Xiaomi sudah menembusi pasaran Rusia sejak April lalu melalui pengedar tunggal tempatan yang dikenali sebagai RDC dan ia turut mempunyai enam cawangan jualan sendiri di seluruh negara tersebut.

Bersempena dengan pembukaan Mi Store berkenaan, Xiaomi turut mempromosikan beberapa produk baharunya termasuk Mi Mix 2, Mi Note 2 dan Redmi 4K dengan tawaran potongan harga istimewa sebanyak 20 peratus.

Xiomi yang ditubuhkan pada 2010 lalu, merupakan pengeluar telefon pintar ketiga terbesar dunia selepas Samsung dari Korea Selatan dan Apple dari Amerika Syarikat dengan merekodkan jualan lebih 60 juta unit setahun.

Ia ketika ini memiliki 10,000 pekerja serta sejumlah 220 cawangan Mi Store di China selain mempunyai pasaran di Afrika Selatan, India, Indonesia, Filipina, Malaysia, Singapura dan Thailand. – Agensi