China Larang Kanak-Kanak Muslim Hadiri Kelas Agama, Baca Kitab Suci

Sebuah daerah majoriti Islam di barat China melarang kanak-kanak menghadiri kelas agama semasa cuti musim sejuk, kata biro pendidikan dalam notis yang dipaparkan secara dalam talian selepas pihak berkuasa meningkatkan kawalan terhadap pendidikan agama.

Pelajar sekolah di daerah Linxia di wilayah Gansu, yang diduduki etnik minoriti Islam Hui, dilarang memasuki bangunan agama semasa cuti, kata biro pendidikan daerah berdasarkan pemberitahuan itu.

Pelajar juga tidak boleh membaca kitab suci di dalam kelas atau bangunan, kata biro itu, sambil menambah semua pelajar dan guru harus mematuhi notis dan berusaha memperkuat ideologi dan propaganda politik.

Bagaimanapun, laporan tersebut tidak belum dapat disahkan mengenai notis tersebut.

Seorang lelaki yang menjawab telefon di biro pendidikan Linxia memutuskan talian apabila Reuters bertanya mengenai notis itu. Seorang wanita di biro pendidikan daerah enggan memberi komen mengenai kesahihan dokumen tersebut.

Xi Wuyi, sarjana Marxis di Akademi Sains Sosial China yang disokong kerajaan yang juga pengkritik lantang terhadap peningkatan pengaruh Islam di China, berkongsi gambar dan mengalu-alukan langkah pihak berkuasa itu.

Dengan notis itu, daerah itu mengambil tindakan kukuh untuk menjaga agama dan pendidikan secara berasingan serta berpegang teguh pada undang-undang pendidikan, katanya di media sosial, Weibo.

Peraturan baharu mengenai hal ehwal agama dikeluarkan pada Oktober tahun lepas dan akan berkuatkuasa pada Februari ini, bertujuan untuk meningkatkan pengawasan terhadap pendidikan agama dan menyediakan peraturan lebih besar terhadap aktiviti keagamaan.

Pada musim panas lalu, larangan Sunday School (Kelas Hari Ahad) diperkenalkan di tenggara bandar Wenzhou, yang dikenali sebagai “Baitulmaqdis China” kerana penduduk Kristiannya yang ramai, tetapi ibu bapa terbabit masih menjumpai cara untuk mengajar anak mereka mengenai agama Kristian.

Undang-undang China secara rasmi memberi kebebasan beragama untuk semua rakyat tetapi peraturan terhadap pendidikan dan perlindungan golongan minoriti juga menetapkan agama tidak boleh digunakan untuk menghalang pendidikan negara atau untuk “memaksa” anak-anak mempercayainya.

Pihak berkuasa di bahagian bermasalah China, seperti wilayah barat Xinjiang, kediaman kepada kaum minoriti Islam Uighur yang berbahasa Turki, melarang anak-anak menghadiri kelas agama.
Tetapi masyarakat Islam di tempat lain jarang menghadapi sekatan ketat sedemikian.

Ketakutan terhadap pengaruh umat Islam berkembang akhir-akhir ini di China, di sebalik keganasan di Xinjiang.

Cina Hui, yang budayanya lebih mirip dengan majoriti Cina Han berbanding Uighurs, juga berada di bawah pengawasan beberapa cendekiawan yang bimbang pengaruh Islam terhadap masyarakat. – Reuters