Duta UK Ke PBB Sifatkan Korea Utara Sebagai Ancaman Kepada Keamanan Dunia

Di sebalik perkembangan positif di semenanjung Korea, Republik Rakyat Demokratik Korea atau Korea Utara masih dianggap satu ancaman kepada keamanan dunia.

Duta United Kingdom ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Jonathan Allen menyifatkan program nuklear Pyongyang kekal sebagai satu ancaman kerana masih giat dijalankan.

“Ketika kami mengalu-alukan kesediaan Pyongyang mengadakan rundingan dengan Korea Selatan, hakikat yang tidak berubah adalah program nuklear mereka masih aktif.

“Ia sebenarnya masih dianggap ancaman kepada keselamatan dan kemananan komuniti antarabangsa,” kata Allen dalam satu pertemuan dengan media sebelum mesyuarat Majlis Keselamatan PBB.

Korea Utara sebelum ini bersetuju menghantar delegasi untuk menyertai temasya Sukan Olimpik musim sejuk di Pyeongchang, Korea Selatan, selain juga bersetuju mengadakan rundingan dengan negara jirannya itu di peringkat tentera bagi mengurangkan ketegangan yang berpanjangan di semenanjung Korea sebelum ini.

Pyongyang bagaimanapun mempertahankan rundingan dengan Seoul tidak akan menyentuh isu program nuklearnya.

Sehubungan itu Allen mendesak supaya Majlis Keselamatan membuat keputusan segera bagi menghukum Pyongyang berhubung program nuklearnya. – APTN