Polis India Tahan Lelaki Jual Ginjal Isteri Sebagai Ganti Wang Hantaran

Polis di Bengal Barat menahan seorang lelaki kerana menipu isteri sendiri menjual satu ginjalnya disebabkan gagal membayar wang hantaran berjumlah 200,000 rupee (RM12,200).

Wanita terbabit, Rita Sarkar, 28, mendakwa suaminya Biswajit Sarkar yang dikahwini 12 tahun lalu bersama abang ipar menipunya untuk menjual sebelah ginjal dan mencuri organ berkenaan ketika dia menjalani pembedahan apendiks.

“Suami dan keluarga mentua sering menyeksa saya dan mendesak wang itu dibayar.

“Kira-kira dua tahun lalu saya mula mengalami sakit perut teruk dan apabila suami membawa saya ke hospital swasta di Kolkata, saya dimaklumkan ia akibat masalah apendiks yang perlu dibuang melalui pembedahan.

“Bagaimanapun, sakit saya semakin teruk selepas pembedahan itu dan suami mengarahkan saya tidak memaklumkan sesiapa mengenai pembedahan di Kolkata berkenaan. Saya merayu berulang kali untuk mendapat rawatan lanjut tetapi tidak diendahkan,” katanya.

Menurutnya, ibu bapanya akhirnya membawanya ke hospital lain kira-kira tiga bulan lalu di mana doktor mendapati ginjal kanannya tiada. Perkara itu disahkan selepas dia mendapat pandangan kedua doktor hospital berbeza.

Dia memfailkan laporan polis terhadap Sarkar dan abang iparnya Shyamal serta ibu mentua, Bularani. Inspektor Udayshankar Roy mengesahkan dua lelaki terbabit ditahan, tetapi Bularani melarikan diri.

Katanya, Shyamal dan Sarkar mengaku menjual ginjal itu kepada seorang ahli perniagaan di Chhattisgarh. – Agensi