Minyak Mentah Cecah Harga Tertinggi 18 Bulan

Harga minyak mencecah paras tertinggi 18 bulan pada hari dagangan pertama 2017, disokong harapan persetujuan pengurangan pengeluaran antara OPEC dan pengeksport minyak utama lain benar-benar dilaksanakan.

Penanda aras Brent melonjak lebih dua peratus ke paras tertinggi AS$58.37, naik AS$1.55 satu tong, tertinggi sejak Julai 2015. Pada 1430 GMT, Brent susut sedikit kepada AS$58.12, naik AS$1.30.

Minyak mentah AS mencecah paras tertinggi 18 bulan pada AS$55.24, naik AS$1.52 satu tong, juga paras tertinggi sejak Julai 2015, sebelum susut kepada sekitar AS$55.00.

Pasaran hadapan minyak ditutup pada Isnin sempena cuti Tahun Baharu. 1 Januari menandakan bermulanya secara rasmi persetujuan antara OPEC dan pengeksport minyak utama lain, seperti Russia, bagi mengurangkan pengeluaran sebanyak hampir 1.8 juta tong sehari.

Pelabur memantau OPEC bagi melihat sama ada kumpulan itu benar-benar menepati janji mereka. “Sekiranya 2016 adalah tahun penuh dengan kata-kata, 2017 seharusnya tahun penuh dengan tindakan,” kata Tamas Varga, penganalisis kanan minyak di PVM Oil Associates di London. – REUTERS