Harga Minyak AS Catat Paras Terendah Sejak November

Harga minyak menjunam semalam dengan minyak mentah Amerika Syarikat (AS) mencatatkan paras terendah sejak November susulan kebimbangan terhadap lebihan bekalan baharu.

Kejatuhan itu menutupi prospek cerah rundingan terkini Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) untuk meninjau melanjutkan pengurangan pengeluarannya melangkaui Jun.

Berdasarkan data inventori minyak AS bagi Selasa dan Rabu minggu lalu menunjukkan pertambahan stok minyak mencecah 2.8 juta tong.

Ia sekali gus membuktikan penambahan untuk minggu ke-10 berturut-turut selepas kejatuhan ketara minggu lalu yang memungkinkan inventori meningkat kembali ke paras rekod tertingginya.

Dagangan hadapan Brent bagi Mei jatuh 66 cent atau 1.3 peratus untuk berakhir AS$50.96 setong paras paling lemah sejak 14 Mac.

Minyak mentah WTI AS pula menjunam 88 cent atau 1.8 peratus untuk berakhir AS$47.34 setong pada hari terakhir kontrak April mencecah paras terendahnya sejak 29 November 2016 iaitu sebelum usaha global mengurangkan bekalan bagi meningkatkan harga minyak dunia. – REUTERS