Permintaan Minyak Sawit Malaysia Dijangka Pulih

Walaupun penggunaan minyak kacang soya dan biji sesawi oleh China dilihat telah menyeret turun import minyak sawit dari Malaysia sejak beberapa bulan lalu, keadaan itu tidak akan bertahan lama kerana permintaan terhadap minyak masak itu dijangka pulih.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Dr Kalyana Sundram berkata beliau yakin akan berlaku peningkatan import minyak sawit oleh China, terutama dari wilayah tepi pantai dan dalaman, berikutan aktiviti promosi di negara itu.

“Sebahagian besar minyak sawit kini tidak sampai ke wilayah pantai dan dalaman walaupun mempunyai penduduk yang ramai berikutan masalah logistik,” katanya.

Kalyana berkata, bagi mengatasi masalah itu, MPOC merancang melaksanakan lebih banyak aktiviti promosi di China.

“Kami sedang merancang pelbagai kaedah promosi dalam usaha membawa minyak sawit ke wilayah dalaman,” katanya.

Selain itu, kata Kalyana, MPOC bekerjasama dengan pengeluar kayu Cina tempatan, usahawan dan industri bukan makanan untuk melakukannya.

“Ia akan menjadi tugas sepanjang tahun. Mungkin ia akan mengambil beberapa tahun, tapi ini adalah antara beberapa aktiviti promosi yang perlu dijalankan dalam usaha meningkatkan penggunaan minyak sawit Malaysia di China.

“Kami akan gembira jika antara 5.5 juta dan enam juta tan metrik minyak sawit kita memasuki China. Terdapat kemungkinan besar ia akan tercapai jika semua usaha promosi itu dilaksanakan,” katanya.

Kalyana berkata, dengan peningkatan perdagangan dua hala dengan China dan projek yang akan dilaksana negara itu di Malaysia, akan wujud hasil sampingan di mana minyak sawit akan lebih diiktiraf oleh agensi kerajaan China yang membeli minyak dan lelemak.

“Mereka (agensi kerajaan China) mungkin lebih mudah beralih kepada penggunaan minyak sawit dalam produk mereka. Oleh itu ia adalah usaha jangka panjang dan kami perlu melakukannya secara berterusan,” katanya.

China menggunakan kacang soya untuk makanan haiwan dan ini adalah antara sebab peningkatan besar dalam penggunaan kacang soya.

Stok penimbal minyak biji sesawi telah dikeluarkan secara beransur-ansur, daripada beberapa juta tan metrik kepada kurang daripada 750,00 tan metrik sekarang ini, katanya.

“Ketika China memanfaatkan bekalan kacang soya global yang cukup untuk memberi makan sektor ternakannya yang berkembang pesat dan jualan negara simpanan minyak biji sesawi, tindakan itu menjejaskan keseluruhan import minyak sawit oleh negara berkenaan,” katanya.

Menurutnya, import minyak sawit China menjunam 24 peratus kepada 4.48 juta tan metrik pada 2016, terendah sejak 2005, ketika penanda aras pasaran hadapan naik 25 peratus selepas El Nino menjejaskan bekalan di Indonesia dan Malaysia.

“Penyusutan yuan dan jualan minyak biji sesawi oleh China juga mengurangkan daya tarikan minyak sawit kepada pembeli tempatan,” katanya. – BERNAMA