Rambutan Malaysia Punyai Potensi Besar di Pasaran Antarabangsa, Kata FAMA

Buah rambutan negara mempunyai ruang yang luas untuk dipasarkan di peringkat antarabangsa berikutan permintaan tinggi dari beberapa buah negara, kata Pengarah kanan (Pasaran Antarabangsa) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Nazipah Jamaludin.

Justeru itu, katanya, usaha untuk meningkatkan pengeluaran rambutan yang berkualiti perlu terus dijalankan bagi memenuhi permintaan negara pengeksport seperti Singapura, negara-negara Eropah, Timur Tengah dan China.

“Kita telah mengeksport sebanyak 1,900 tan metrik (tahun lepas) dengan nilai RM3 juta ke negara-negara berkenaan,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Kiosk Rambutan FAMA di Oriental Village Langkawi Skycab di Langkawi, hari ini.

Nazipah berkata, selain Malaysia, Thailand dan Vietnam juga merupakan pengeluar rambutan bagi pasaran dunia, namun berdasarkan maklum balas dari negara-negara pengimport, rambutan Malaysia lebih berkualiti tinggi.

Menurutnya, Kedah merupakan salah sebuah negeri pengeluar rambutan utama di negara ini untuk pasaran antarabangsa.

Oleh sebab itu, katanya, FAMA merancang untuk meningkatkan lagi pembelian rambutan yang ditanam di Langkawi daripada 40 peratus masa kini kepada 50 peratus pada masa terdekat ini bagi memenuhi permintaan antarabangsa.

“FAMA juga akan meneruskan bantuan mempromosi buah tempatan itu yang dijenamakan sebagai “Langkawi Grown Rambutan” dalam kalangan pelancong dari luar negeri menerusi kerjasama dengan Lembaga pembangunan Langkawi dan agensi-agensi kerajaan yang lain,” katanya.

Menurutnya, beberapa buah lokasi telah dikenal pasti untuk dijadikan tapak promosi dan jualan rambutan yang setakat ini melibatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Oriental Village di Teluk Burau. – BERNAMA