Kesedaran PKS Mengenai FTA Masih Rendah, Kata Ahmad Maslan

Kesedaran mengenai perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan faedahnya dalam kalangan usahawan dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), masih rendah, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata PKS perlu memanfaatkan sepenuhnya faedah dan merebut peluang yang ditawarkan oleh FTA, terutamanya insentif yang disediakan oleh kerajaan dalam usaha perdagangan antarabangsanya.

“PKS membentuk lebih 98.5 peratus perniagaan berdaftar di Malaysia dan hanya menyumbang kira-kira 18.6 peratus eksport Malaysia.

“Oleh itu, usaha berterusan oleh kerajaan dan agensinya masih diperlukan untuk membantu PKS tempatan agar mereka menyesuaikan diri dengan budaya perniagaan baru untuk meningkatkan keupayaan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar yang dianjurkan bersama oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Yayasan Amal Maaruf Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Seminar itu, bertemakan ?Meneroka Pasaran Antarabangsa dengan Matrade’, bertujuan untuk membantu usahawan mengatasi kebimbangan meneroka ke luar negara dengan memberikan pemahaman mengenai pengeksportan. Ia menarik kira-kira 150 peserta, termasuk dari Sabah dan Sarawak yang berminat untuk memulakan perniagaan eksport.

Ahmad berkata sejajar dengan usaha mempromosikan produk dan perkhidmatan Malaysia, kerajaan telah mengukuhkan penglibatannya dengan rakan perdagangan melalui FTA.

Setakat ini, Malaysia telah menandatangani FTA dua hala dengan Jepun, Pakistan, New Zealand, India, Chile, Australia dan Turki manakala melalui ASEAN, negara juga mempunyai perjanjian pelbagai hala dengan China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand, katanya.

Ahmad berkata PKS perlu bersedia untuk menerima pakai teknologi digital dalam usaha mereka mengakses pasaran global seperti e-dagang.

E-dagang 13 kali lebih pantas berbanding perniagaan secara fizikal, katanya.

Beliau berkata cabaran-cabaran itu, bagaimanapun, terletak pada keupayaan PKS untuk mendigitalkan dan mempelajari teknologi baru dan masa depan, serta kemampuan kewangan dalam menangani jaminan wang dikembalikan yang diperlukan pada platform digital seperti platform e-dagang Alibaba.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Pembangunan Eksport, Sharimahton Mat Salleh, berkata Matrade menyasar untuk menyenaraikan kira-kira 1,500 PKS di platform Alibaba dalam fasa pertama.

Sehingga kini, kira-kira 850 PKS menyertainya, katanya.

“Matrade positif untuk mencapai sasaran dalam jangka masa yang singkat dan berharap dalam fasa seterusnya lebih banyak PKS akan dapat disenaraikan di platform itu,” katanya.

Beliau menggesa syarikat-syarikat agar memanfaatkan subsidi yang diberikan kerajaan untuk penyenaraian platform di mana PKS akan diberi RM5,000 sebagai subsidi daripada lebih RM6,000 yuran pendaftaran yang diperlukan oleh platform berkenaan.

“Mereka yang disenaraikan juga akan diberi perkhidmatan nilai tambah seperti penyenaraian mikro, pameran, serta latihan yang diberikan oleh Alibaba.com dan ejen-ejennya di Malaysia untuk membolehkan syarikat menarik pengunjung ke tapak produk mereka,” katanya. – BERNAMA