Menarik
Tarikh Hari Ini
18 October 2017

Pertumbuhan Pembiayaan Bersih Terus Sokong Aktiviti Ekonomi, Kata BNM

Pertumbuhan pinjaman terkumpul sistem perbankan meningkat kepada 5.8 peratus pada Ogos 2017, berbanding 5.6 peratus pada Julai, didorong oleh sektor perniagaan dengan peningkatan dalam sektor pembinaan, dan kewangan, insurans dan perkhidmatan perniagaan.

Dalam sorotan bulanan bagi Ogos 2017 yang dikeluarkan di sini, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, pertumbuhan pembiayaan bersih mapan pada 6.6 peratus pada Ogos berbanding 6.8 peratus pada bulan sebelumnya, manakala pertumbuhan terbitan terkumpul bersih bon korporat lebih sederhana pada 9.0 peratus berbanding 10.6 peratus pada Julai.

Menurut bank pusat, kualiti aset sistem perbankan kekal kukuh dengan paras pinjaman terjejas kekal stabil pada 1.2 peratus daripada jumlah pinjaman bersih selepas ditolak peruntukan jejas nilai individu.

BNM berkata, bank-bank terus mempunyai penampan yang mencukupi untuk menghadapi kemungkinan kerugian kredit, dengan nisbah perlindungan kerugian pinjaman semasa pada 81.4 peratus.

Sementara itu, pada Ogos, pasaran kewangan domestik disokong terutamanya oleh sentimen positif yang didorong faktor-faktor luar dan dalam negeri.

“Pada peringkat global, kebimbangan terhadap inflasi yang lebih rendah di AS telah menyebabkan dolar AS secara keseluruhan menyusut nilai dan minat terhadap aset kewangan serantau meningkat, termasuk di Malaysia.

“Pada peringkat dalam negeri, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pendapatan korporat suku kedua 2017 yang lebih baik daripada jangkaan turut menyokong sentimen yang positif itu,” katanya.

Bagaimanapun, pelabur terus mengambil sikap berhati-hati berikutan peningkatan ketegangan geopolitik semasa, katanya.

Mengenai eksport, BNM berkata pertumbuhan eksport meningkat dengan pesat kepada 30.9 peratus pada Julai 2017 (Jun: 9.9 peratus), yang didorong oleh eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum serta kimia dan keluaran kimia.

“Pertumbuhan eksport pada masa terdekat akan terus disokong oleh prospek pertumbuhan dunia yang menggalakkan,” katanya. – BERNAMA