Ringgit Malaysia Dijangka Diniaga Rendah Berbanding Dolar AS

Ringgit berkemungkinan diniagakan dalam jajaran kecil pada paras antara 4.19 dan 4.22 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan berikutan jangkaan dolar AS itu akan terus mengukuh.

Ketua Pakar Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank, Dr Kamaruddin Mohd Nor, berkata peningkatan ringgit baru-baru ini adalah disebabkan kelemahan dolar AS.

“Ringgit diniagakan rendah minggu ini, terutamanya disebabkan oleh aliran keluar dana daripada pasaran ekuiti manakala dolar AS sebaliknya mencatat peningkatan semula,” katanya.

Dolar AS juga lebih cenderung untuk meningkat dengan indeks mata wang itu berada pada 93.07 selepas meningkat hampir sebulan, susulan kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan AS (FED), Janet Yellen pada Selasa yang membayangkan kemungkinan kenaikan kadar faedah kali ketiga pada Disember dan mengalihkan sentimen ke arah mata wang AS berkenaan.

Kenyataan Fed sebelum ini yang mahu mengurangkan lembaran imbangan sebanyak AS$4.5 trilion pada Oktober, turut menunjukkan bahawa ekonomi AS dilihat kukuh bagi membolehkan bank pusat itu melaksanakan langkah menaikkan kadar faedah itu.

Selain itu, usaha menyeimbangkan portfolio ke arah ekonomi sedang pesat membangun, hanya terus menekan ringgit serta mata wang negara sedang pesat membangun dan perkembangan itu dijangka berterusan hingga minggu depan.

Sementara itu, Hong Leong Research berkata ringgit susut 0.8 peratus bagi minggu ke minggu berbanding dolar AS yang meningkat semula.

Namun, ringgit sebaliknya meningkat berbanding mata wang lapan daripada 10 negara yang juga turut rendah berbanding dolar AS.

“Kami menjangkakan dolar AS akan terus kukuh minggu depan, sekali gus menyaksikan prestasi ringgit terjejas.

Perkembangan atau kejutan membabitkan aliran di Malaysia akan mengekang kerugian, namun tidak dapat menepis impak data AS yang lebih baik daripada dijangkakan,” katanya.

Bagi perbandingan Khamis hingga Jumaat, ringgit diniagakan rendah pada paras 4.2190/2220 berbanding dolar AS daripada 4.1960/1000 minggu lepas.

Ringgit juga susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1063/1097 daripada paras 3.1052/1090 pada Jumaat dan rendah berbanding yen kepada 3.7499/7532 daripada 3.7308/7353.

Berbanding euro pula, ringgit meningkat sedikit kepada 4.9788/9828 daripada 4.9987/9039 manakala berbanding pound Britain, ia menokok kepada 5.6425/6482 daripada 5.6617/6679, sebelum ini. – BERNAMA