Menarik
Tarikh Hari Ini
18 October 2017

Penyusunan Semula Proton Bantu Pemulihan Semula Kereta Asean, Kata Menteri MITI

Penyusunan semula Proton Holdings Berhad akan menyaksikan pemulihan semula projek Kereta Asean, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata bagi memastikan projek Kereta Asean itu menjadi kenyataan, Proton perlu mendapatkan persetujuan daripada semua negara Asean.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang menyelia industri automotif di negara ini merancang memulakan perbincangan dengan anggota ASEAN bagi menjadikan projek itu dapat dilaksanakan.

“Ia satu konsep yang baik tetapi butiran terperinci perlu diusahakan. Ia memerlukan banyak kerjasama dan mesyuarat,” katanya kepada pemberita di luar acara Forum Khazanah Megatrends 2017 (KMF 2017) di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata antara isu yang perlu diselesaikan dengan anggota Asean lain termasuklah asal kandungan tempatan, vendor dan komponen.

Mustapa, bagaimanapun, yakin projek itu akan dapat dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun.

“Lima tahun nampaknya munasabah untuk memulakan projek itu,” katanya.

Pada Februari 2015, Proton memeterai memorandum persefahaman dengan PT Adiputra Citra Lestari dari Indonesia untuk meluaskan lagi peluang perniagaan antara kedua-dua syarikat dalam membangun dan mengeluarkan Kereta Asean.

Projek itu, bagaimanapun, terbantut apabila Proton menjalani penyusunan semula dan Mustapa berkata: “Proton belum bersedia pada masa itu.”

Semalam (Ahad), semasa majlis karnival usahawan dan kerjaya, Mustapa berkata Ketua Pegawai Eksekutif Proton yang baru dilantik Li Chunrong akan membantu menggerakkan pengeluar kereta nasional itu melangkah ke pasaran global. – BERNAMA