Sentimen Positif Bajet 2018, Bursa Malaysia Dijangka Meningkat Minggu Depan

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka meningkat minggu depan dengan indeks penanda aras bergerak antara 1,750 dan 1,760 mata dibantu oleh sentimen positif oleh Bajet 2018.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata bajet berkenaan dianggap sebagai pengembangan dengan banyak insentif diberikan kepada pelbagai kumpulan rakyat yang sebaliknya akan memberi faedah kepada ekonomi negara.

“Pengumuman dalam bajet itu dijangka mewujudkan lebih banyak spekulasi dan mencetuskan belian.

“Pasaran tempatan terlebih jual dan bergerak mendatar selama 7 minggu yang menarik pembeli saham semasa berharga murah dari dalam dan luar negara.

“Kita dapat melihat peningkatan dalam jumlah pembeli saham semasa berharga murah memasuki pasaran dan dijangka dapat melihat banyak lagi sentimen baik dalam pasaran tempatan,” katanya.

Beliau berkata bursa tempatan dijangka mengikuti bursa Asia yang lain yang meningkat berdasarkan kepada pengukuhan Wall Street, serta pemulihan berterusan harga komoditi.

Bagi asas mingguan, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI naik 5.48 mata kepada 1,746.13 daripada 1,740.65 pada Jumaat lepas.

Indeks FBM Emas meningkat 37.82 mata kepada 12,551.61, Indeks FBMT 100 menambah 35.69 mata kepada 12,191.47, Indeks FBM Emas Syariah melonjak 484.32 mata kepada 12,998.11 dane FBM 70 menokok 35.13 mata kepada 15,313.31.

FBM Ace susut 68.03 mata kepada 6,881.34.

Mengikut sektor pula, Indeks Kewangan berkurangan 37.66 mata kepada 16,258.44, Indeks Perusahaan menambah 13.94 mata kepada 3,204.17 dan Indeks Perladangan menokok 28.88 mata kepada 7,951.47.

Jumlah dganagan meningkat kepada 12.96 bilion unit bernilai RM10.76 bilion daripada 1.79 bilion unit bernilai RM9.28 bilion yang dicatatkan minggu lepas.

Jumlah dagangan pasaran utama meningkat kepada 8.68 bilion saham bernilai RM9.97 bilion daripada 6.43 bilion saham bernilai RM8.35 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 777.52 juta unit bernilai RM80.23 juta berbanding 626.73 juta unit bernilai RM70.06 juta yang didagangkan minggu lepas.

Pasaran ACE Market susut kepada 3.43 bilion unit bernilai RM695.06 juta berbanding 4.66 bilion unit bernilai RM854.74 juta sebelumnya. – BERNAMA