AmBank Sedia Bantu Pelanggan Terjejas Akibat Banjir Di Utara Malaysia

Kumpulan AmBank bersedia untuk membantu para pelanggan negeri-negeri sebelah utara Malaysia Barat yang terjejas akibat banjir.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank Datuk Sulaiman Mohd Tahir, berkata dalam kenyataan mereka yang terlibat boleh menghubungi Pusat Panggilan 24 jam AmBank pada talian 03-2178 8888 atau kunjungi cawangan terdekat untuk bantuan.

Katanya, AmBank akan menimbang pemberian moratorium ansuran bulanan/pembayaran balik sehingga enam bulan kepada mangsa banjir dan suatu pengecualian sekali sahaja yang berkaitan dengan caj bayaran/denda lewat.

Ia juga akan mengetepikan caj untuk pelanggan-pelanggan yang mahu menggantikan kad mesin juruwang automatik (ATM), kad debit dan kredit, buku pelaburan, buku cek atau apa-apa dokumen yang berkaitan perbankan, yang rosak atau hilang semasa banjir.

Pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang memerlukan dana tambahan sebagai sokongan dalam tempoh tersebut, juga boleh memohon kemudahan bantuan bencana yang berjumlah RM500 juta yang diberikan oleh Bank Negara Malaysia melalui AmBank dengan menghubungi pengurus perhubungan mereka. – BERNAMA