Ketegangan Arab Saudi Dan Iran Dijangka Sebabkan Harga Minyak Naik

Harga minyak mengalami kenaikan pantas malam tadi selepas ketegangan geopolitik antara Arab Saudi dan Iran mencetus kebimbangan konflik yang boleh mengganggu bekalan daripada dua pengeluar minyak utama itu.

Tetapi harga turun sedikit dalam dagangan awal Asia pada Selasa ketika pedagang terlibat dalam pengambilan keuntungan selepas kedua-dua produk mencapai tahap yang tidak dilihat dalam lebih dua tahun.

“Ketegangan antara Iran dan Arab Saudi dilihat sebagai gangguan utama dan pasaran bimbang bekalan akan terputus sekiranya berlaku sebarang konflik,” kata Shane Chanel, penasihat ekuiti dan terbitan di ASR Wealth Advisers di Sydney.

Riyadh dan Tehran saling tuduh menuduh mengenai penglibatan mereka di Yaman, di mana Arab Saudi dan Iran menyokong pihak bertentangan.

Dalam perkembangan terkini, Arab Saudi mendakwa serangan peluru berpandu ke atas Arab Saudi yang dipintas, didakwa dilancarkan pemberontak di Yaman yang disokong Tehran, “mungkin bererti tindakan melancarkan perang”.

Tehran pula menuduh Riyadh melakukan jenayah perang di Yaman, meningkatkan lagi ketegangan.
Tetapi penganalisis Chanel berkata, tuduh-menuduh itu tidak mungkin mencetuskan konflik dalam erti kata sebenar.

Sekitar 0330 GMT, penanda aras Amerika Syarikat West Texas Intermediate (WTI) naik 4 sen kepada AS$57.39 (RM242.56) setong manakala minyak mentah Brent turun 8 sen kepada AS$64.19 (RM271.30) setong.

Dalam tempoh pertengahan, harga dijangka terus meningkat dan had bekalan minyak yang diketuai Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (Opec) dijangka berterusan sehingga 2018, kata Greg McKenna, ketua strategi pasaran di AxiTrader.

“Rusia menjadi pemacu penting di Opec apabila bersetuju untuk bekerjasama, tetapi turut mengancam untuk meningkatkan pengeluaran jika perjanjian itu gagal,” tambah McKenna.

Minyak mentah mengalami trajektori menaik pada bulan-bulan kebelakangan ini kerana pengeluar minyak utama, diketuai Arab Saudi dan Rusia, pada tahun lepas mencipta sejarah dan bersetuju untuk mengurangkan sebanyak 1.8 juta tong sehari selama enam bulan.

Perjanjian itu dilanjutkan kepada 9 bulan sehingga Mac, memberi kelegaan keapda pasaran selepas bekalan minyak berlebihan menurunkan harga minyak sejak 2015.

Pedagang kini akan mencari angka stok minyak mentah dari Institut Petroleum Amerika untuk menawarkan petunjuk permintaan pasaran terkini. – AFP