Malaysia, Netherlands Adakan Perbincangan Dua Hala Mengenai Sekatan Minyak Sawit

Rundingan dua hala antara Malaysia dan Netherlands perlu dipertingkat untuk memastikan hanya fakta tepat mengenai industri sawit dapat disalurkan dengan berkesan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong.

Beliau hari ini mengadakan perbincangan dua hala dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pembangunan Kerjasama Netherlands, Sigrid Kaag.

Mah menyifatkan pendirian Netherlands membantah diskriminasi minyak sawit tindakan matang dan rasional.

Semalam, Netherlands mengumumkan ia menyertai beberapa negara anggota Kesatuan Eropah (EU) lain untuk membantah cadangan sekatan ke atas minyak sawit oleh Parlimen Eropah.

Kaag berkata Netherlands tidak menyokong sebarang langkah diskriminasi atau perbezaan antara produk dan menggesa dialog mengenai isu minyak sawit.

“Eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit ke negara EU bernilai RM11 bilion pada 2017. Daripada jumlah ini, eksport ke Netherlands sebanyak RM6.3 bilion,” katanya dalam kenyataan.

Mah turut mengulangi pendirian teguh kerajaan Malaysia menentang diskriminasi tersebut bagi memastikan kepentingan 650,000 pekebun kecil sawit di Malaysia terpelihara.

“Malaysia tidak akan bertoleransi terhadap tindakan pihak tertentu yang menindas punca pendapatan mereka,” katanya.

Kedua-dua menteri itu turut bersetuju mengukuhkan kerjasama melalui Jawatankuasa Kecil Malaysia-Netherlands mengenai Kelapa Sawit dalam berkepentingan bersama.

Mereka turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Wageningen Food and Biobased Research of The Netherlands mengenai Pengoptimuman Penggunaan Lestari Biomass Kelapa Sawit.

Kerjasama itu antaranya untuk membangunkan program penyelidikan pengeluaran bahan nilai tambah seperti pembungkusan dan plastik bio daripada batang pokok sawit. – BERNAMA