Hilang Permata Seni, S.M Salim Meninggal Dunia

Penyanyi legenda tanah air, Tan Sri S.M. Salim meninggal dunia petang ini pada usia 88 tahun di kediamannya di Ukay Perdana kerana sakit tua.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.44 petang selepas tenat sejak awal pagi semalam sehingga terpaksa diberi alat bantuan pernafasan.

“Dukacita saya maklumkan bahawa Tan Sri S.M Salim sudah meninggal dunia pada pukul 5.44 petang,” kata wakil keluarga Allahyarham melalui mesej aplikasi WhatsApp kepada Bernama.

Semalam, anggota keluarga dan sahabat handai terdekat seniman itu mula mengunjungi kediaman S.M.Salim untuk bersama-sama menghadiri majlis bacaan surah Yasin setelah beliau dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

S.M.Salim atau nama sebenarnya Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros, memulakan kariernya sebagai penyanyi pada tahun 1950an dan merupakan pendukung gigih lagu-lagu Melayu klasik.

Seniman veteran itu lumpuh akibat sakit saraf dan pergerakannya bergantung pada kerusi roda sejak 17 tahun lepas. – BERNAMA