Nabila Razali Akui ‘Cair’ Dengan Sifat Budiman Alif Satar

Diberi peluang keemasan berganding dengan pelakon dan penyanyi, Alif Satar dalam drama Hikayat Cinta Si Pematah Hati, bakat baharu, Nabila Razali bagai tidak cukup kata-kata menggambarkan personaliti bapa dua anak itu.

Menurut BH Online, Nabila mengaku dirinya ‘cair’ melihat personaliti Alif yang cukup sempurna.

“Bagi saya yang berusaha membiasakan diri dengan dunia lakonan, sifat Alif yang ‘sweet’ dan budiman bagai membuatkan diri ini ‘cair’.

“Alif banyak membantu sepanjang penggambaran, kalau ada babak yang saya tidak lakonkan dengan baik, dia akan beritahu.

“Alif memberi ruang untuk saya memberi yang terbaik dan keluar dari ‘kotak’. Sikap tolak ansurnya memudahkan penggambaran.

“Secara jujur, saya gementar berganding dengan Alif apatah lagi memegang teraju utama bersamanya,” katanya yang menghidupkan watak Wafeen Wardah dalam drama yang ditayangkan Astro sejak 24 April lalu.

Mengenai segelintir peminat fanatik yang kurang senang melihat dirinya berganding dengan Alif dalam drama berkenaan, Nabila mengambil sikap terbuka.

“Soal dibandingkan dengan orang lain bagi saya adalah normal. Saya sedar diri ini masih baharu. Memang ada peminat yang mempersoalkan kenapa saya yang digandingkan dengan Alif.

“Saya anggap ia resam dan cabaran buat artis baharu macam saya. Wajah dan bakat baharu sebenarnya memberi variasi dan warna kepada industri seni supaya terus berkembang,” katanya.