Aliff Dakwa Penjelasan Afifah Mengarut dan Tidak Masuk Akal

Pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz mendakwa penjelasan diberi pelakon baru, Afifah Nasir berkaitan kontroversi yang melanda mereka baru-baru ini sebagai mengarut dan bertujuan untuk melepaskan diri semata-mata.

Aliff berkata kenyataan Afifah dalam sidang media semalam yang mendakwa dirinya diarahkan pihak produksi untuk ‘bermanja’ dengan Aliff bagi mendapatkan mood lakonan, selain memastikan pelakon kelahiran Singapura itu sentiasa datang ke set pengambaran adalah tidak masuk akal.

“Apabila saya teliti semula kenyataan Afifah semalam, memang ada yang tak masuk akal. Apa yang terjadi adalah hal peribadi, tak perlu babitkan produksi yang beri rezeki. Jangan nak tegakkan benang yang basah. Malah jika saya bermasalah tak datang set, pihak produksi boleh hubungi saya,” katanya seperti dipetik melalui portal hiburan tempatan, hari ini.

Kata Aliff, kenyataan Afifah kononnya semua yang dilakukannya adalah atas arahan syarikat produksi adalah berlawanan dengan situasi sebenar ketika mereka pergi ke pusat karaoke.

“Dia (Afifah) patungkah hingga membiarkan tangannya dipegang saya? Bukan dia tak boleh menepis atau menolak tangan saya. Malah Afifah ada menerima kiriman WhatsApp daripada isteri saya pada sebelah pagi sebelum insiden kantoi di pusat karaoke itu. Namun, Afifah pergi juga pusat karaoke terbabit.”

“Saya terima hukuman ‘cash’ kerana perkara itu diketahui isteri hingga kantoi pada petang sama. Sedangkan Afifah terus berdolak hingga membabitkan Allana Amir yang kononnya akan turut serta di pusat hiburan itu.”

Aliff turut mempersoalkan rakaman suara yang didakwa membuktikan Afifah sebagai mangsa keadaan kerana beranggapan rakaman tersebut sengaja diada-adakan.

“Saya fikir siapa saja boleh ‘berlakon’ menjadi pekerja produksi itu untuk diperdengarkan. Kalau rasa betul kenapa tak didedahkan saja identiti individu yang dimaksudkan. Afifah juga ada bangkitkan soal perundangan, saya juga boleh berbuat demikian,” katanya lagi.

Kontroversi hubungan Aliff dan Afifah menjadi perhatian umum apabila Aliff didakwa mengasari isterinya yang masih dalam tempoh pantang semasa berlaku pergelutan di pusat karaoke baru-baru ini, selepas dia dan Afifah ditangkap sedang bermesra di pusat hiburan berkenaan.

Tindakan Aliff itu mendapat kritikan netizen dan orang ramai yang menyifatkan pelakon dan penyanyi itu sebagai dayus.