Mahadzir Lokman Dibenar Keluar Hospital Selepas Terlantar Dua Minggu

Personaliti televisyen popular, Datuk Mahadzir Lokman dibenarkan keluar hospital selepas dua minggu terlantar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Kuala Lumpur, namun masih perlu menjalani rawatan susulan.

Adiknya, Danial berkata mereka sekeluarga bersyukur apabila Mahadzir menunjukkan perkembangan kesihatan yang positif dan berharap abangnya itu akan kembali pulih selepas mendapat rehat secukupnya.

“Alhamdulillah, abang sudah dibenarkan pulang dan berehat di rumah. Dia akan menjalani beberapa rawatan susulan untuk memantau penyakit diabetis dan darah tinggi dialaminya. Kami bersyukur dia semakin pulih,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Mahadzir dimasukkan ke PPUM pada 24 September lalu selepas tidak sedarkan diri di kediamannya.

Beliau yang baru pulang dari Jakarta, Indonesia, empat hari sebelum itu, dilaporkan mengalami radang paru-paru dan jangkitan pada buah pinggang.

Danial turut berterima kasih kepada pihak media yang sentiasa melaporkan perkembangan kesihatan Mahadzir dari semasa ke semasa.

“Mewakili keluarga, saya berterima kasih kepada pihak media yang berterusan membuat laporan mengenai keadaan abang.

“Ini memudahkan kami berkongsi perkembangan kesihatan abang dengan keluarga, rakan dan peminatnya,” katanya.

Mahadzir memulakan kerjaya di TV3 pada 1984 sebagai penyampai berita bahasa Melayu dan Inggeris pertama stesen televisyen itu.

Beliau pernah diberi tanggungjawab menjadi perantara pertama rancangan Sekapur Sirih, Malaysia Hari Ini (MHI) dan Melodi.

Mahadzir yang berkebolehan bertutur dalam pelbagai bahasa, termasuk Perancis, Sepanyol, Itali dan Portugis juga sering diundang sebagai pengacara dalam pelbagai acara bertaraf antarabangsa.