Siti Nurhaliza, Eizlan Yusof Sedia Bantu Rakyat Pahang Ditimpa Musibah

Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof yang menerima anugerah darjah Seri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri, semalam, mengakui bersedia membantu rakyat di Pahang yang menerima musibah seperti gesaan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Siti Nurhaliza berkata golongan artis perlu membuktikan tanggungjawab mereka terutama dalam menyalurkan bantuan kepada semua pihak yang memerlukan.

“Sebelum ini, Siti banyak melakukan kerja amal bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik menerusi Yayasan Nur Jiwa. Siti biasanya akan membantu sedaya yang boleh dengan pertolongan suami, syarikat korporat dan peminat.

“Sebagai anak jati Pahang, Siti juga pernah membabitkan diri dengan projek amal di negeri kelahiran Siti, seperti membuat persembahan dan larian amal, selain menyumbangkan bantuan dalam bentuk wang ringgit,” kata Siti Nurhaliza.

Sementara itu, pelakon, Eizlan ketika dihubungi menyambut baik gesaan Pemangku Raja Pahang itu sambil menegaskan, semua pihak perlu bersama-sama membantu golongan kurang bernasib baik.

“Mereka yang ditimpa musibah harus mendapat pertolongan sewajarnya daripada mereka yang berkemampuan. Saya sendiri banyak terbabit dalam kerja amal, terutama dianjurkan di Pahang. Artis lain juga sama-sama menjayakannya.

“Kalau ada acara kebajikan yang memerlukan pembabitan saya, InsyaAllah saya akan cuba tunaikan.

“Bantuan atau sumbangan ini boleh dilakukan dalam apa juga bentuk, bukannya dengan wang ringgit semata-mata,” katanya sambil menyifatkan anugerah itu sebagai amanah dan tanggungjawab yang besar,” kata Eizlan.

Terdahulu, berucap pada majlis pengurniaan sumbangan kepada mangsa ribut di Taman Saga Ceria, Mentakab, Temerloh, hari ini, Tengku Abdullah menggesa mereka yang berkeupayaan untuk membantu mengurangkan beban mereka yang ditimpa musibah dan berbakti kembali kepada negeri itu selepas menerima darjah kebesaran.

Tambah Tengku Abdullah, gesaan itu bukan berniat untuk menyindir, sebaliknya satu kenyataan kerana masih ramai rakyat di negeri terbabit memerlukan pembelaan terutama yang dilanda musibah.