Hafiz Hamidun Rancang Mahu Terbit Filem Berkonsepkan Islamik

Penyanyi lagu “Jodoh Berdua”, Hafiz Hamidun meluahkan hasratnya untuk menerbitkan filem berkonsepkan Islamik, namun mengakui bahawa hal tersebut tidak akan direalisasikan dalam masa terdekat ini.

Sebaliknya Hafiz yang kini sedang berjinak-jinak dengan dunia perfileman berkata bahawa idea mengenai perkara tersebut mungkin dilakukan dalam masa depan dan setelah benar-benar yakin dengan kemampuannya untuk menerbitkan filem.

“Sesekali terlintas juga mahu menerbitkan filem Islamik.

“Biarpun tidak pernah bergiat secara langsung dalam filem, saya sering menimba pengalaman menerbitkan skor muzik di layar perak,” katanya.

Beliau yang pernah menyediakan skor muzik untuk beberapa filem termasuk filem Nur Kasih The Movie pada tahun 2009 memberikan contoh penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslow sebagai rujukan.

“Saya juga memperoleh pengalaman sama dalam beberapa filem lain seperti Juvana dan KL Gangster.

“Saya lihat penggiat seni di Indonesia juga aktif menerbitkan filem Islamik. Saya rasa kalau ada minat, semua ini tidak mustahil.

“Kalau di Indonesia, dengan gabungan penulis skrip dan novel, penerbit dan komposer yang baik, terhasillah filem yang ‘meletup’. Jadi saya rasa tak salah jika formula sama digunakan di Malaysia,” katanya.

Tambahnya, beliau optimis tentang perkara tersebut dan percaya hal itu bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan.

“Ini umpama angan-angan saya. Tak salah berangan pun. Siapa tahu pada masa mendatang ini, ia bakal menjadi kenyataan.”