Siti Nurhaliza Pasang Azam Tahun Baru Untuk Jadi Ibu Terbaik

Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin yang bakal menimang cahaya mata sulung pada Mac tahun ini memasang azam untuk menjadi ibu terbaik kepada anaknya itu.

Siti Nurhaliza berkata kelahiran cahaya mata sulungnya itu bakal memberi warna baru dalam kehidupan penyanyi tersebut dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa.

“Alhamdulillah, Siti amat bersyukur apabila tahun baharu nanti bakal menyaksikan Siti bergelar seorang ibu. Sudah semestinya Siti mahu menjadi ibu yang baik untuk anak yang bakal lahir.

“Siti juga ingin memberikan limpahan kasih sayang dan cuba mendidiknya dengan sempurna,” katanya.

Katanya, selain memberi tumpuan kepada kelahiran anaknya, beliau juga merancang untuk kembali ke arena seni suara selepas berehat dalam tempoh yang panjang.

“Siti juga mahu membuat ‘come back’. Nampaknya, Siti kenalah turunkan berat badan dulu selepas selamat melahirkan nanti. Di samping itu, Siti perlu kembali membuat latihan dengan sebaik mungkin bagi menjayakan konsert, yang dijadualkan pada hujung tahun depan.

“Seperti kerjaya seni, Siti turut membuat perancangan mengembangkan lagi jenama SimplySiti. Jadi, insya-Allah ada beberapa produk baharu yang akan dikeluarkan.

“Pada tahun ini, perancangan untuk memiliki album baharu, SimetriSiti, dan sebagainya berjalan seperti diinginkan. Bagai rezeki anak yang dikandung ini, saya beroleh beberapa penghargaan termasuk kurniaan Datuk Seri.

“Semua itu membuatkan Siti jadi lebih kuat untuk berjuang. Kesimpulannya, perancangan kerjaya dan keluarga pada tahun ini memberi 1,001 rahmat cukup berharga,” katanya.