Jakim Adakan Pertemuan Dengan Nur Sajat Di Shah Alam Petang Ini

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan menemui ahli perniagaan dan usahawan kosmetik terkemuka, Nur Sajat, petang ini bagi membincangkan mengenai pelbagai spekulasi yang melanda individu itu.

Penolong Pengarah Kanan Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti Jakim, Dr Izwan Yusof berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan tersebut di Wisma Nur Sajat, Shah Alam.

“Insya-Allah saya akan berjumpa dengan Sajat pukul 3.00 petang ini di Wisma Nur Sajat.

“Saya telah berhubung dengan beliau dan inilah waktu yang diberikan kepada kami untuk perjumpaan ini,” kata Izwan.

Menurut Izwan, beberapa pegawai di bahagian sama dari Jakim akan turut bersama dalam pertemuan tersebut.

“Diharapkan pertemuan bersama Sajat berjalan lancar.”

Izwan melalui kiriman di Facebooknya secara terbuka mengundang Sajat ke Jakim bagi membincangkan mengenai situasi melanda usahawan tersebut ketika ini terutama melibatkan pelbagai persoalan yang timbul kalangan masyarakat mengenainya.

Tulisan Izwan di media sosial itu turut mendapat persetujuan daripada Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha yang menyokong pertemuan tersebut diadakan.

“Setuju dan aturkan pertemuan dengan Nur Sajat. Kita bantu bukan menghukum,” tulis Othman di Facebooknya.

Pertemuan antara Jakim dengan Sajat itu dipercayai ekoran tindakan individu di Facebook dengan nama Sir Azri atau Muhammad Azri yang memuat naik video menghubungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom meminta Jakim mengambil tindakan terhadap usahawan kosmetik berkenaan.

Sir Azri melalui muatan di Facebooknya mendakwa Sajat sebagai individu yang membawa pengaruh buruk kepada masyarakat dan tindakan sewajarnya harus dikenakan oleh pihak berkuasa bagi menanggani permasalahan tersebut.