FELDA Patut Contohi Pendekatan Selangor Perjuang Isu Peneroka

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) disaran mencontohi pendekatan kerajaan Selangor dalam memperjuangkan isu kebajikan peneroka dan generasi kedua FELDA.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Shamsul Iskandar Md Akin berkata pendekatan yang dilakukan kerajaan Selangor menerusi Sekretariat Taskforce FELDA Selangor bagi menyelesaikan pelbagai masalah tanah rancangan tersebut di negeri ini wajar dijadikan panduan pengurusan FELDA pada masa akan datang.

“Antara pencapaian utama sekretariat ini adalah apabila Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengumumkan pembinaan 136 unit rumah berkembar setingkat untuk generasi kedua Felda Sungai Tengi, pada pertengahan tahun lalu.

“Rumah berkenaan dijual dengan harga RM97,000 bagi keluasan 850 kaki persegi berbanding harga asal RM160,000,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya lagi pendekatan tersebut jelas membantu golongan peneroka terutama generasi kedua FELDA mendapatkan kediaman, selain memastikan kebajikan mereka tersebut dibela.

Dalam masa sama, Shamsul berkata bahawa partinya akan memanggil semua pihak berkepentingan untuk mengadakan perbincangan berkaitan tindakan lebih tersusun untuk membela nasib golongan peneroka.

“Keadilan juga akan segera memanggil semua pihak berkepentingan untuk mengadakan perbincangan komprehensif dan strategik bagi memastikan tindakan lebih tersusun dapat diambil dalam membela nasib peneroka,” tambah Shamsul lagi.