Jangan Politikkan Bantuan Kepada SPRM, Kata Idris

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron menegaskan pembangkang tidak sepatutnya mempolitikkan bantuan yang diberikannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan kes rasuah beberapa pegawai kerajaan negeri.

Beliau berkata beliau sentiasa bersikap terbuka sekiranya pihak pembangkang dapat mengemukakan bukti terdapat pegawainya terlibat dengan amalan rasuah dan tidak pernah menghalang mana-mana siasatan terutama daripada SPRM.

Justeru, katanya pihak pembangkang perlu mendapatkan maklumat tepat dan terperinci berkaitan isu itu sebelum membuat sebarang tuduhan, gesaan dan campur tangan dalam pentadbiran serta pengurusan kerajaan negeri.

“Saya lihat pihak pembangkang ini mudah didorong oleh emosi dan hanya meletakkan kepentingan politik semata-mata… jangan main politik. Pergi jaga ahli cawangan yang ada.

“Selaku ketua menteri, saya tidak pernah melindungi mana-mana individu yang terlibat dengan rasuah walaupun mereka adalah pegawai saya,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri itu semalam.

Kelmarin, sebuah akhbar melaporkan mengenai kehadiran anggota SPRM di pejabat Idris pada Ahad lepas bagi merakam kenyataan berhubung siasatan kes rasuah beberapa pegawai kerajaan negeri Melaka.

Ketika ditemui pemberita semalam, Idris menjelaskan beliau hanya membantu siasatan SPRM terhadap beberapa pegawai kerajaan negeri dan siasatan itu tiada kaitan dengan dirinya.

Anggota Parlimen Bukit Katil Shamsul Iskandar Mohd Akin yang juga naib presiden PKR menerusi kenyataan media kelmarin mendesak Idris membuat penjelasan mengenai kedatangan SPRM itu.

Sementara itu, Idris juga menjelaskan bahawa semua pertukaran ketua jabatan dan pegawai kerajaan negeri yang dibuat baru-baru ini adalah mengikut prosedur pentadbiran dan pengurusan di bawah Perintah Am Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata ia juga dilakukan secara profesional, tidak mengikut emosi dan berdasarkan beberapa faktor lain termasuk laporan audit bebas, tempoh masa pegawai atau ketua jabatan itu berkhidmat di agensi atau jabatan berkenaan, prestasi organisasi serta kedudukan kewangan syarikat.

“Kalau ada ketua jabatan atau pegawai yang terlibat, merungut kenapa mereka ditukar, ia tidak sepatutnya berlaku. Mereka hendaklah menerima pertukaran berkenaan secara berlapang dada.

“Ini adalah satu proses yang cukup terperinci dan berlaku secara profesional, rasional dan bukannya didorong perasaan tidak suka atau berlainan fahaman politik,” katanya.

Beliau berkata pertukaran berkenaan juga perlu dilakukan bagi mengelak jabatan, agensi atau anak syarikat kerajaan negeri terpaksa menanggung liabiliti selain kesalahan atau kesilapan berulang yang dilakukan sehingga menjejaskan perkhidmatan organisasi berkenaan.

Dalam perkembangan lain, katanya kerajaan negeri sedang mengkaji menubuhkan syarikat penerbangan ‘Melaka Go Airlines’ yang bertujuan menghubungkan negeri itu dengan negara ASEAN menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di Batu Berendam di sini.

“Tugas dan tanggungjawab ini akan disempurnakan Exco Pengangkutan, Pemulihan Projek dan Perdagangan Antarabangsa negeri, Datuk Lim Ban Hong dan kita akan melihat keberkesanananya,” katanya.

Sementara itu, Idris berkata Yang di-Pertuan Agong ke-15 Sultan Muhammad V dijangka mengadakan lawatan rasmi ke Melaka selama tiga hari bermula 2 Mac depan dan sekaligus menjadikan Melaka sebagai negeri pertama menjadi destinasi bagi lawatan rasmi Seri Padukaa selepas melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 13 Disember lepas.

“Pelbagai acara rasmi akan berlangsung sepanjang keberangkatan baginda mencemar duli di Melaka termasuk kunjung hormat yang akan dilakukan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob,” katanya. – BERNAMA