SPRM Siasat Annuar Musa Berhubung Tajaan Pasukan Kelantan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka kertas siasatan terhadap Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dalam skandal penajaan pasukan bola sepak Kelantan.

SPRM dalam kenyataan media berkata akan bekerjasama dengan bahagian audit dalaman MARA bagi menyiasat beberapa isu melibatkan rasuah dan salah guna kuasa pemimpin Umno itu semasa beliau menjawat jawatan sebagai Pengerusi.

“Ingin ditegaskan, siasatan SPRM hanya tertumpu kepada isu rasuah dan salah guna kuasa membabitkan penglibatan beliau dalam penajaan pasukan bola sepak Kelantan,” kata SPRM lagi.

Dalam pada masa sama, SPRM meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan kes tersebut dan memberikan kepercayaan penuh kepada suruhanjaya itu untuk menjalankan siasatan secara adil dan telus.

Annuar telah digantung jawatannya sebagai Pengerusi MARA, pagi tadi, selepas satu mesyuarat Ahli Majlis MARA diadakan di Ibu Pejabat MARA, Kuala Lumpur.

Ketua Penerangan Umno itu gagal dihubungi untuk mendapat maklum balas lanjut kerana sedang berada ke New Zealand.