Kematian Lelaki Korea, Seorang Lagi Suspek Wanita Ditahan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan seorang lagi wanita ditahan dipercayai mempunyai kaitan dengan kematian seorang lelaki Korea Utara bernama Kim Chol.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Bernama pagi ini, namun ketika ditanya mengenai butiran lanjut berhubung penahanan itu seperti kewarganegaraan, beliau berkata satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata pihaknya akan melakukan beberapa siri tangkapan susulan penahanan suspek pertama, semalam.

“Saya boleh katakan polis mempunyai maklumat yang mengaitkan suspek pertama yang kita tahan semalam dengan kematian lelaki terbabit.

“Polis sedang giat mengesan beberapa lagi individu yang boleh dikaitkan dengan kes ini,” katanya kepada Bernama.

Semalam, polis menahan seorang wanita warga Vietnam, Doan Thi Huong, 29, ketika keseorangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada pukul 8.20 pagi.

Isnin lepas, Kim Chol yang dipercayai abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dilaporkan berada di klia2 pada pukul 8 pagi untuk menaiki penerbanganke Macau pada 9 pagi.

Beliau dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital dari klia2 setelah mengadu kurang sihat.

Media asing melaporkan Kim Chol sebenarnya ialah Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara itu. – BERNAMA