Kerajaan Ubah Nasib Residensi Kerinchi

Projek Residensi Kerinchi yang menempatkan 472 isi rumah adalah bukti kerajaan sentiasa berusaha mengubah masa depan rakyat ke arah yang lebih baik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, sejak 1971 penduduk Flat Empat Tingkat, Kampung Kerinchi di sini tinggal dalam keadaan rumah yang tidak terurus dan usang serta hanya berkeluasan 300-450 kaki persegi.

Kini mereka mampu tinggal di pangsapuri berkeluasan 900 kaki persegi yang kondusif dengan dilengkapi kolam renang, surau, taman permainan dan sebagainya tanpa sebarang bayaran berdasarkan konsep ‘trade-off’ (tukar ganti).

“Berbanding nilai dahulu (Flat Empat Tingkat) hanya kira-kira RM50,000. Rumah sekarang (Residensi Kerinchi) bernilai RM500,000 atau setengah juta.

“Sepanjang pentadbiran saya, saya sering mengingatkan kepada para pemimpin bahawa kepentingan dan kebajikan rakyat harus diutamakan setiap masa,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Residensi Kerinchi dan Kenduri 1Wilayah Persekutuan Parlimen Lembah Pantai di sini.

Najib berkata pelaksanaan Residensi Kerinchi yang merupakan sebuah projek unit pangsapuri berkeluasan 900 kaki persegi benar-benar menepati kehendak dan kepentingan rakyat.

Residensi Kerinchi yang dilaksanakan oleh pemaju, Suez Domain Sdn Bhd menempatkan 472 unit apartmen dibangunkan di kawasan lebih 2.8 hektar di atas tapak bekas Flat Empat Tingkat, Kampung Kerinchi itu, yang diruntuhkan.

Najib turut melahirkan rasa musykilnya terhadap tindakan pihak pembangkang termasuk Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, yang dilihat cuba menggagalkan projek itu sebelum ini.

PKR pernah membangkitkan pelbagai isu berkenaan pelaksanaan projek Residensi Kerinchi dan cuba mempengaruhi penduduk kampung supaya tidak menandatangani perjanjian projek, sehingga menyebabkan 35 keluarga membawa isu itu ke mahkamah.

“Akhirnya mangsa 35 keluarga mengikut hasutannya (Nurul Izzah). Dan sekarang mereka menyesal kerana tidak dapat rumah baharu,” katanya.

Terdahulu, Najib turut merasmikan Madrasah Ittifaqiyah Addiniyah yang merupakan kemudahan surau berhawa dingin kepada penduduk serta melawat beberapa unit pangsapuri di situ. – BERNAMA