Umat Islam Jangan Terpedaya Pakej Valet Doa

Umat Islam di negara ini diingatkan agar tidak terpedaya dengan pihak yang menawarkan pakej perkhidmatan valet doa di Mekah dengan harga tertentu seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha berkata pakej valet doa berkenaan tidak dibenarkan Islam memandangkan terdapat unsur perniagaan dan menjaja amalan ibadat untuk mengaut keuntungan.

Katanya lagi, doa merupakan permohonan khusus seorang hamba kepada Allah SWT dan Islam tidak meletakkan syarat tempat untuk berdoa, namun perlu menepati syarat dan adab seperti yang telah digariskan para ulama agar doa itu dimakbulkan.

“Justeru adalah sangat tidak wajar doa dijadikan produk atau perkhidmatan komersial kerana ia mempergunakan agama untuk habuan dunia dan mencemarkan kesucian agama Islam.

“Hak termakbulnya doa adalah milik Allah semata-semata, bukan terletak kepada manusia. Ia tidak boleh diqiyaskan dengan badal haji kerana bukan haji mabrur yang diupahkan tetapi amalan badal haji itu sendiri yang boleh menerima upah.

“Justeru, tidak wajar mana-mana individu menjamin doanya akan dimakbulkan Allah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang diminta mengulas mengenai valet doa ditawarkan di media sosial dengan pakej tertentu sehingga RM2,500, menyarankan agar umat Islam berhubung teeys dengan JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri jika timbul sebarang keraguan atau kemusykilan dalam isu seumpama itu.