Buat Rayuan Pemohonan BR1M Tidak Lulus

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyarankan mana-mana pemohon Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang layak tetapi tidak diluluskan agar mengemukan rayuan mulai bulan hadapan dengan melampirkan bukti pendapatan bersama pengesahan dari agensi kerajaan terlibat.

Sumber dalaman kepada LHDN berkata punca utama sebilangan besar permohonan itu ditolak adalah disebabkan kegagalan pemohon terutamanya golongan peniaga mengemukan bukti pendapatan mereka.

Kata beliau lagi, keputusan tersebut dibuat untuk mengurangkan jumlah pemohon dengan maklumat gaji palsu, selain memastikan bantuan itu disalurkan hanya kepada golongan berkelayakan.

“Saya percaya, tindakan kita (tidak meluluskan permohonan BR1M) tidak disenangi banyak pihak, tetapi kita buat untuk pastikan pemohon yang betul-betul layak sahaja terima BR1M.

“Tahun lalu sahaja, banyak aduan yang diterima apabila peniaga dan mereka yang bekerja sendiri tak declare (isytihar) pendapatan mohon BR1M dan kemudian lulus.

“Tahun ini kita perketatkan. Jadi pemohon yang tak lampirkan bukti pendapatan memang kita tak luluskan,” kata sumber itu kepada Selangor Press.

Tambah beliau, golongan peniaga yang layak namun permohonan ditolak, tidak perlu hadir ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mendapatkan pengesahan pendapatan, sebaliknya hadir ke pejabat LHDN berhampiran untuk membuat rayuan secara manual.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa peniaga yang dikesan mempunyai keuntungan bulanan melebihi RM4,000 semasa proses pengesahan pendapatan akan dipaksa membayar cukai kepada LHDN, seperti tular di media sosial.

“Ramai percaya kononnya pengesahan pendapatan itu sebagai kaedah LHDN buru peniaga yang buat untung lebih RM4,000 untuk kenakan cukai.

“Sesebuah perniagaan itu akan ditentukan sama ada dikenakan cukai atau tak selepas ditaksirkan dahulu, bukan setakat dapat untung lebih RM4,000 sebulan terus kena cukai.

“Saya harap sesiapa yang rasa dia patut dapat BR1M tetapi tidak lulus itu, jangan takut untuk buat rayuan bulan depan,” katanya lagi.

Isu mengenai permohonan BR1M tidak diluluskan menjadi topik hangat di media sosial semalam.

Sebilangan pemohon mendakwa alasan LHDN tidak meluluskan permohonan mereka adalah disebabkan tiada pengesahan pendapatan dari SSM.