Coklat “Eyeglass With Candy” Halal – JAKIM

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan bahawa coklat “Eyeglass With Candy” sebagai halal selepas coklat itu tular di media sosial kerana didakwa mengandungi sumber dari babi.

Bahagian Hab Halal JAKIM memaklumkan bahawa coklat tersebut yang dikeluarkan oleh Goodfood Industries Sdn Bhd adalah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah sehingga kini.

“Salah faham timbul apabila pengguna tidak memerhati dengan jelas label sebenar yang tertera ‘free from pig’s products and its Derivatives’ (bebas daripada produk babi dan asal usulnya).

“Semua perlu mengetahui bahawa proses pengeluaran SPHM mengambil kira setiap ramuan dan proses berkaitan pengeluaran sesuatu produk dengan teliti, membabitkan pakar syariah dan teknologi makanan,” kata JAKIM dalam kenyataan, hari ini.

Justeru JAKIM menasihatkan pengguna agar menyemak status halal sesuatu produk kepada JAKIM melalui kemudahan yang disediakan termasuk di laman web www.halal.gov.my dan aplikasi telefon pintar MyJakim, sebelum menularkannya melalui media sosial.

“Jadilah pengguna yang bijak sebelum menyebar dan berkongsi sesuatu isu halal yang tersebar dengan merujuk pihak berwibawa agar tidak terjebak ke dalam dosa fitnah sesama ummah,” tambah JAKIM lagi.