Jangan Eksploitasi Konflik Demi Kepentingan Politik

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap agar konflik antara Malaysia dan Korea Utara tidak diekspoloitasi pihak tertentu demi kepentingan politik.

Muhyiddin berkata konflik diplomatik itu wajar dikendalikan secara berhati-hati kerana melibatkan nyawa 11 rakyat Malaysia yang telah dihalang daripada meninggalkan Korea Utara.

“Kami berharap semua pihak tidak akan menggunakan perbalahan diplomatik ini sebagai alat politik untuk agenda politik mereka.

“Keselamatan 11 rakyat Malaysia adalah amat penting pada masa ini,” katanya pada sidang akhbar di Petaling Jaya hari ini.

Beliau turut menambah bahawa kerajaan perlu mengendalikan konflik ini secara bijak dalam memastikan keselamatan 11 rakyat Malaysia itu terjamin.

Katanya lagi, kerajaan perlu mewujudkan pasukan rundingan yang holeh dipercayai dalam kadar segera untuk membawa pulang kesemua rakyat Malaysia itu.

Menurut Muhyiddin, dalam keadaan situasi terkini, semua pihak perlu mengelakkan kenyataan yang boleh membangkitkan kemarahan kedua-dua belah pihak kerana konflik seperti ini boleh mencetuskan krisis serantau.

Patriotisme Menguntungkan Pemerintah

Naib Presiden Pas, Iskandar Abdul Samad pula membayangkan bahawa isu patriotisme seperti konflik Malaysia-Korea Utara ini akan menguntungkan pemerintah.

Beliau membandingkan situasi semasa yang dihadapi negara ketika ini dengan konflik dihadapi United Kingdom dan Argentina apabila Perdana Menteri UK, Margaret Thatcher ketika itu dikecam teruk dengan masalah pengangguran.

“Tetapi tiba-tiba Argentina serang Falklands. Thatcher hantar tentera dan kalahkan Argentina. Thatcher pun menanh besar pada pilihan raya selepaa itu,” tulis Iskandar melalui Facebooknya.

Konflik Malaysia-Korea Utara semakin tegang susulan tindakan negara republik itu menahan 11 rakyat Malaysia sehingga menyebabkan Putrajaya mengeluarkan arahan larangan kepada kesemua rakyat Korea Utara untuk keluar dari Malaysia.