Konflik Korea Utara, Jangan Ambil Tindakan Beremosi

Kerajaan Persekutuan diminta untuk tidak mengambil tindakan beremosi dalam konflik antara Malaysia dan Korea Utara bagi mengelakkan situasi menjadi lebih tegang ketika ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan perlu meneliti setiap perancangan untuk menyelesaikan kemelut ini, selain tidak mengambil tindakan beremosi demi keselamatan rakyat Malaysia di republik tersebut.

“Sekarang keadaan makin tegang. Sudah tentu keutamaan kita memastikan bawa pulang warganegara kita di Korea Utara. Kaedahnya hendaklah dirancang dan disusun dengan betul.

“Kita tidak mahu Putrajaya mengambil tindakan secara beremosi yang akhirnya akan memberi kesan kepada rakyat Malaysia yang berada di sana,” katanya di Shah Alam, hari ini.

Kata Azmin,kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seharusnya mencari penyelesaian diplomatik dari awal sebelum keadaan tegang seperti kini.

Beliau, juga Timbalan Presiden Parti Keadilab Rakyat (PKR), turut mendesak Kerajaan Persekutuan memberikan penjelasan mengenai konflik dengan Korea Utara kepada semua ahli parlimen ekoran keadaan yang semakin tegang.

“Putrajaya perlu bertanggungjawab memberi penjelasan khususnya kepada ahli-ahli parlimen, kita ingin tahu apakah sebenarnya yang berlaku dan mengapa tindakan diambil tanpa perancangan lebih teratur.

“Harap penjelasan dapat diberikan dalam tempoh terdekat dan kita harus memastikan semua usaha mesti diambil untuk membawa balik warganegara Malaysia yang kini berada di sana,” katanya lagi.

Konflik antara Malaysia dan Korea Utara dilihat semakin memuncak dengan Putrajaya mengenakan larangan kepada kesemua rakyat Korea Utara untuk keluar dari negara ini ekoran tindakan Pyongyang menjadi 11 rakyat Malaysia di negara itu sebagai “tebusan”.