Kontraktor Bumiputra Mampu Laksana Projek MRT, Pan Borneo

Datuk Seri Najib Tun Razak menzahirkan rasa gembira kerana impak kejayaan projek Transit Aliran Massa (MRT) dan lebuhraya bebas tol Pan Borneo telah membuktikan kemampuan kontraktor bumiputera dan Melayu dalam melaksanakan projek mega.

Perdana menteri mendapat maklum balas berhubung perkara itu hasil pertemuannya dengan ketua-ketua industri serta persatuan-persatuan perniagaan pada dialog meja bulat ekonomi di Putrajaya, semalam.

“Saya juga berasa gembira apabila mendapat maklum balas daripada Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia bahawa anak-anak Melayu dan bumiputera telah mendapat manfaat daripada dasar “carve-out” bagi projek MRT dan Pan Borneo.

“Saya juga diberitahu bahawa persepsi terhadap kontraktor bumiputera dan Melayu sudah semakin berubah apabila mereka dapat membuktikan bahawa mereka mampu “deliver”.

“Saya bangga dengan anak bangsaku, Negaraku,” katanya dalam catatan di blog www.najibrazak.com bertajuk: ‘Kita Di Landasan Tepat’, hari ini.

Menyentuh lanjut mengenai keberhasilan pertemuan itu, Najib berkata beliau memgambil maklum bahawa terdapat pihak yang mahu kerajaan menimbang semula polisi berkenaan pekerja asing.

Katanya dalam isu itu kerajaan akan mengambil pendekatan yang mempertimbangkan kepentingan negara dalam jangka masa panjang.

“Antaranya, jumlah kiriman wang pekerja asing ke luar negara kini telah mencecah RM36 bilion berbanding dahulu hanya RM30 bilion, dan jika perkara ini terus berlaku, banyak implikasinya terhadap negara kita.

“Bagaimanapun, kerajaan akan terus mengamalkan dasar mesra perniagaan dan seimbang untuk memastikan kepentingan semua pihak terpelihara,” katanya.

Mengulas lanjut berhubung pertemuan itu, perdana menteri berkata beliau turut mengambil maklum pandangan Datuk Wira Jalilah Baba, yang mewakili Malaysian International Chamber of Commerce and Industry yang berpendapat TN50 atau Transformasi Nasional 2050 harus direalisasikan dan sistem pendidikan mesti ditambah baik agar dapat menghasilkan pelajar yang lebih inovatif.

Jalilah berpendapat bahawa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang ditekankan oleh kerajaan adalah satu inisiatif kerajaan yang baik.

Najib berkata Datuk Aishah Ahmad mewakili Persatuan Automotif Malaysia turut mencadangkan akan pentingnya Malaysia mengurangkan kos menjalankan perniagaan bagi menarik pelabur asing dan sehubungan itu mencadangkan penubuhan “Competitiveness Council”.

“Malaysian Rubber Glove Manufacturers Association juga telah mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan elaun pelaburan semula,” katanya.

Perdana menteri berkata perbincangan itu turut menyentuh isu-isu semasa yang ada kaitan dengan dasar-dasar kerajaan sama ada bagi jangka masa pendek atau jangka masa panjang ke arah mencapai TN50.

Najib merumuskan hasil pertemuan itu sebagai: “Kita berada di landasan yang tepat” dengan menyatakan Malaysia berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.2 peratus di kala keadaan ekonomi global yang mencabar dan tidak menentu, dan tahun ini dijangkakan bahawa ekonomi negara akan berkembang 4.3 peratus atau lebih.

“Saya percaya bahawa tahun 2018 akan mencatat pertumbuhan yang lebih baik dan ekonomi kita akan bertambah kukuh,” katanya.

Najib turut merujuk kepada Laporan Economist Intelligence Unit 2017 Worldwide Cost of Living, yang mengiktiraf Kuala Lumpur sebagai negara yang paling murah untuk diduduki di Asia Tenggara manakala Singapura pula adalah negara yang paling mahal untuk diduduki di dunia.

Perdana menteri turut berkongsi ucapannya sebelum ini di Global Transformation Forum mengenai kejayaan Malaysia dalam mencipta 1.8 juta pekerjaan baharu, membina jalan yang jaraknya sama dengan jarak Malaysia ke Nepal, mengurangkan kadar kemiskinan kepada 0.6 peratus, dan pendapatan kasar negara yang meningkat hampir dua kali ganda.

“Namun begitu, masih ada banyak lagi ruang penambahbaikan dan perlu diberi fokus seperti dalam perihal hutang isi rumah dan peningkatan hasil produktiviti negara.

“Fokus juga harus diberikan kepada pembangunan sumber manusia, kesalinghubungan dan inklusiviti dalam merangka polisi dan dasar pembangunan negara bagi memastikan negara kita berjaya menjadi 20 negara teratas dunia,” katanya. – BERNAMA