Larang Kedutaan Korea Utara Keluar Malaysia

Malaysia tidak membenarkan mana-mana pegawai dan kakitangan di kedutaan Korea Utara di sini keluar dari negara ini, dalam satu arahan yang berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah yang diambil itu sebagai tindak balas terhadap arahan Kementerian Luar Korea Utara yang menyekat rakyat Malaysia di negara itu daripada meninggalkan Korea Utara.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen telah keluarkan arahan serta-merta bahawa tidak ada mana-mana pegawai atau kakitangan yang berada di kedutaan Korea Utara yang dibenar keluar dari semua pintu keluar negara ini.

“Kita tidak berhasrat melakukan tindak balas tetapi inilah yang harus dilakukan apabila negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia melakukan tindakan di luar daripada ketatasusilaan dan kelaziman diplomatik.

“Malaysia terpaksa mengambil tindakan sama kerana mereka telah memanipulasikan kes pembunuhan yang dilakukan di klia 2,” katanya kepada pemberita di perkarangan Parlimen hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, rakyat dari negara itu termasuk pelancong tidak tertakluk kepada arahan berkenaan.

“Orang Korea Utara, tak ada masalah tetapi (larangan untuk) pegawai dan kakitangan yang berada di kedutaan Korea Utara. Rakyat biasa kita benarkan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga sedang mendapatkan maklumat daripada Kementerian Luar mengenai berapa ramai rakyat Malaysia yang kini berada di negara berkenaan.

Malaysia, katanya, akan mengambil tindakan berdasarkan Konvensyen Geneva sebagai langkah untuk mengeluarkan rakyat Malaysia yang kini berada di negara itu.

“Mereka arahkan rakyat kita tidak boleh keluar. Kita akan lakukan beberapa tindakan berdasar kepada Konvensyen Geneva yang kita sama-sama tandatangani sebagai negara yang ada hubungan diplomatik,” katanya. – BERNAMA